Selasa, April 12, 2016

Feminin Ubat Rindu Peminat

Artikel diambil daripada Harian Metro




HAMPIR sembilan tahun menyepi, anggota kumpulan Feminin, Asfarina (As), 30; Watie, 28 dan Yatie, 27, kembali bersatu demi peminat.

Feminin pernah mencetuskan fenomena sebagai kumpulan wanita pop pertama tampil dengan imej menarik, kini bakal muncul dengan album kompilasi yang dijadualkan dipasarkan April ini.

Bekas pengurus kumpulan itu, Eddriz Radzie, berkata permintaan peminat itu bakal menjadi kenyataan, apatah lagi peminat sering bertanya bila Feminin mahu kembali aktif.

"Tidak dinafikan sepanjang pembabitan Feminin dalam industri hiburan tempatan, mereka banyak mendendangkan lagu hits bermula 1993 sewaktu muncul dengan album Untuk Mu."

"Malah Feminin menjadi artis kumpulan pertama menerima Anugerah Industri Muzik (AIM) sebagai Artis Berkumpulan Terbaik Dalam Album."

"Bagaimanapun, rancangan itu tertangguh bertahun-tahun kerana anggota kumpulan masing-masing sibuk dengan aktiviti peribadi. Yatie terutamanya menumpukan perhatian terhadap pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM)."

"Saya tidak mahu mengganggu mereka terutama Yatie kerana itu masa depannya, jadi biarlah dia memberikan tumpuan pada pelajaran."

"Apabila tamat belajar Yatie mula bekerja, begitu juga dengan As dan Watie. Seperti yang diketahui umum, seorang lagi anggota kumpulan Feminin, Deq Nor, mengambil keputusan berhenti terus daripada bidang seni kerana mahu memberikan tumpuan kepada rumah tangga."

"Disebabkan pelbagai masalah timbul proses pembikinan album kompilasi tertangguh hampir tiga tahun sehinggalah hari ini apabila semua mereka bersetuju memberikan komitmen."

"Saya terharu dengan kesungguhan mereka terutama Yatie yang kini bertugas di Jakarta bersama AirAsia, sanggup turun menjalani proses rakaman kembali lagu Untuk Mu dan diberikan susunan muzik baru." jelasnya sewaktu ditemui di studio Wake The Baby kerana menemani anggota Feminin menjalani rakaman.


Keputusan ini pastinya menggembirakan peminat yang pernah mengilai lagu Untukmu, Kembali, Kini dan Ride N' Slide. Namun, persoalan timbul bagaimana mereka dapat memberikan komitmen jika anggota kumpulan ini mahu kembali aktif.

Oleh kerana masing-masing sudah mempunyai kerjaya, terutama As mahupun Watie sendiri sudah bergelar isteri. Suami As, Azman Adnan, bekas pemain bola sepak negara pernah menyatakan tidak mahu isterinya aktif kembali dalam bidang seni.

Menjawab persoalan itu, As berkata, Azman tidak pernah menghalang dan mungkin kenyataan itu disalah tafsir peminat.

"Dia tidak mahu saya terlalu aktif sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri. Maklumlah, sebagai suami tentu dia bimbang jika isterinya sering sibuk di luar hingga lupa tanggungjawab."

"Album ini bukanlah album baru, namun kami tetap memberikan komitmen kerana ada nostalgia di sebalik album ini."

"Kami hampir sembilan tahun tidak bertemu, jadi kemunculan album ini bakal mengimbau kembali segala kenangan sewaktu kami bersama."

"Sebelum menjalani rakaman lagu Untuk Mu, As menyatakan hasrat murni kami ini kepada Azman dan dia berkata jika ia baik dan menggembirakan As, dia benarkan. Pembabitan kami bukan untuk jangka masa panjang sebaliknya untuk album ini saja."

"Perancangan akan datang kami tidak mahu fikir lagi, apapun ia bergantung kepada penerimaan peminat terhadap album kompilasi yang bakal dipasarkan kelak." ujarnya.

Seperti juga As, adiknya Watie juga sudah berkahwin tidak mempunyai masalah untuk kembali bergerak aktif kerana dia kini menjadi suri rumah sepenuh masa. Suaminya tidak mempunyai masalah mengenai 'reunion' Feminin itu.

Menyentuh mengenai pembabitan Deq Nor pula, jelas Edd, pihaknya tidap dapat menghalang keputusan bekas anak buahnya itu namun dia akan berterusan mendapatkan Deq Nor untuk membabitkan diri sekurang-kurangnya sewaktu pelancaran album itu diadakan nanti.

Sepanjang pembikinan album kompilasi ini, setiap anggota Feminin berjanji akan memberikan komitmen terbaik termasuk menjalani promosi. Ini bermakna peminat dapat kembali bertemu dengan mereka.

Yatie sendiri menjelaskan walaupun dia sibuk bekerja di Indonesia, namun jadual akan disiapkan lebih awal oleh pihak Warner bagi membolehkan dia kembali dalam jangka waktu panjang membantu mempromosikan album itu nanti.

Selain itu Edd menjelaskan penyatuan ini bukan saja membabitkan anggota Feminin sebaliknya semua pihak yang pernah bekerja dengan Feminin sebelum ini seperti pereka imej, Nurul Syukor dan Azlan Hamid, Anuar dan Pat selaku pereka tari dan Hazlan.

Dia turut mengharapkan penyatuan semula Feminin ini memberikan sesuatu bermakna kepada semua pihak yang pernah menyumbang ke atas kejayaan kumpulan ini suatu ketika dulu.



Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal.

Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal.