Jumaat, Januari 04, 2013

Perjalanan dan Kewujudan Band Girls di Malaysia

Feminin... ikonik kepada band girls di Malaysia!

PENGENALAN
Tidak dapat dinafikan, tanggapan umum menyatakan bahawa kumpulan Feminin merupakan pelopor utama kepada kewujudan kumpulan padu suara wanita atau band girls di Malaysia. Walau pada hakikatnya terdapat kumpulan-kumpulan yang lebih senior daripada mereka yang telah terlebih dahulu muncul dalam industri muzik. 
 
Namun begitu, tanggapan umum ini tidaklah boleh dipersalahkan, ini kerana kehadiran Feminin telah memberi kesan yang begitu mendalam sehingga mampu menghasilkan satu fenomena di negara kita. Catatan ini kami kongsikan perjalanan serta kewujudan band girls di Malaysia bermula dari tahun 70an sehingga kini yang seterusnya mencetus komuniti muzik Mpop.
 
 
Awal Kemunculan (akhir 70an dan awal 80an)

Dipercayai kewujudan kumpulan padu suara wanita atau band girls di Malaysia telah bermula disekitar akhir tahun 70an. Kelahiran kumpulan-kumpulan seperti Cenderawasih, Ideal Sisters dan Trio Manja telah menambah pilihan kepada penggemar muzik. Lagu-lagu seperti Deritamu Deritaku dan Hanya Sekali (telah dinyanyikan semula oleh Feminin sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan-kumpulan senior) telah mempopularkan kumpulan ini.

Namun kehadiran kumpulan-kumpulan ini tidaklah memberi kesan ketara tetapi sekadar menambah variasi kepada genre muzik serta memulakan kuasa Mpop. Band girls kemudiannya sedikit terkebelakang apabila irama rock mula muncul dan menguasai dunia muzik lewat tahun 1980an.
 
Kumpulan Ideal Sisters

Kumpulan Cenderawasih


Zaman Kemuncak (90an)

Dengan ledakan irama hip hop dan rap yang menguasai pasaran ketika itu, Feminin hadir mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kumpulan band girls sebelum ini. Walaupun ada dakwaan yang mengatakan masih ada kumpulan lain yang lebih awal muncul daripada Feminin, namun suka atau tidak, Feminin adalah yang pertama melancarkan album dan kemunculan mereka memberi impak yang relevan kepada dunia muzik Malaysia.
 
Setelah tindakan berani Feminin menjadi, barulah muncul kumpulan-kumpulan lain memeriahkan lagi industri untuk bersaing secara sihat. Maka muncullah kumpulan-kumpulan seperti M'steen, Res2, Freshies, Nona Manis dan Eva. Kumpulan-kumpulan ini yang diterajui oleh Feminin ternyata berjaya memperkukuhkan Mpop dipersada seni negara seterusnya mengusasai pasaran muzik waktu itu. 


Res2 memilih untuk tampil seksi dan daring.

M'steen hanya melahirkan satu album sebelum berundur.

Freshies lebih dikenali dengan kemantapan vokal.

Eva memilih irama dangdut untuk tampil berbeza.



Generasi Ketiga (2000an)

Pengunduran satu persatu band girls termasuklah Feminin atas pelbagai faktor pantas diisi oleh kumpulan-kumpulan baru yang kami gelarkan sebagai generasi ketiga. Kumpulan-kumpulan seperti Elite, GIM, Maskara, Ixora, Genuine, Sister Sister dan 3Gees antara yang muncul mengisi kekosongan itu. Mungkin kerana tanda aras yang telah diletakkan oleh Feminin dari segi lagu, imej, gerak tari dan sebagainya terlalu tinggi, generasi ketiga ini pada keseluruhannya gagal menyambung kesinambungan kegemilangan band girls sebelum mereka. Hanya Elite yang dilihat mampu untuk ke hadapan dari segi populariti, itu pun banyak disumbang oleh gosip-gosip panas setiap anggotannya.

Kumpulan Elite yang banyak berinspirasikan daripada kumpulan Spice Girls

Kumpulan GIM, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai kumpulan ini...

3Gees meneruskan perjuangan Eva dengan memilih irama dangdut. 

Ixora dikatakan klon Feminin dan lebih dikenali dengan lagu-lagu saduran atau nyanyian semula.



Pewaris Kini

Kini, ledakan Mpop yang pernah bertakhta dahulu terus menjunam. Kemuraman ini amat ketara hingga hampir tiada band girls yang boleh dirujuk ketika ini. Kumpulan-kumpulan baru dikesan masih wujud seperti Dynda, Lips, Gula-Gula dan sebagainya, namun hakikatnya kumpulan-kumpulan ini masih gagal bukan sahaja meneruskan legasi Mpop malah kehadiran mereka langsung tidak disedari oleh penggemar muzik.
 
Memang amat besar harapan kami agar ada band girls yang mampu untuk muncul seterusnya menghidupkan kembali Mpop. Mungkin mereka boleh mengkaji kejayaan kumpulan terdahulu khususnya Feminin, bukan untuk meniru tetapi menggunakan formula yang mereka pakai sebagai panduan untuk dipraktikan pada kumpulan-kumpulan baru nanti. Sehingga saat itu, FEMININ masih kekal dipuncak sebagai pemegang unggul takhta puteri MPOP!

Dynda hanya sempat melahirkan single.

Kumpulan Lips berjaya mengeluarkan satu album sahaja sebelum menyepikan diri.

Kumpulan Gula-Gula dilihat lebih ke arah Kpop. Masih belum teruji kerana tiada lagi produk yang berjaya dipasarkan sehingga kini.



PENUTUP

Secara kesimpulannya, kumpulan padu suara wanita di Malaysia telah melalui pelbagai evolusi sehinggakan pernah suatu ketika menguasai dunia muzik tanahair. Catatan ini hanyalah bersifat peribadi hasil daripada pemerhatian kami yang terbatas ke atas dunia seni negara... Semoga sedikit sebanyak mampu membantu pembaca mengenali apa itu band girls atau dirujuk juga sebagai Mpop. Berikut adalah antara album-album yang pernah dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan padu suara wanita di Malaysia...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan