Rabu, April 27, 2011

MTV Untukmu... Kini - Feminin


Sehingga ke tarikh entri ini diterbitkan, MTV 'Untukmu... Kini' merupakan MTV yang terakhir dihasilkan oleh kumpulan Feminin. MTV ini diterbitkan bersempena kelahiran album 'The Best of Feminin' juga merupakan album mereka yang terakhir yang dikeluarkan setakat ini.

Lagu 'Untukmu... Kini', satu-satunya lagu baru yang terdapat dalam album ini. Pada hakikatnya, lagu ini bukanlah sebuah lagu baru secara total kerana ianya merupakan rakaman semula lagu 'Untukmu' yang dipetik dari album pertama mereka yang juga lagu yang telah melonjakkan nama Feminin. Dengan sentuhan muzik yang lebih segar serta vokal terbaru Feminin yang lebih matang, penerbitan semula lagu ini sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan peminat-peminat mereka.

Secara keseluruhannya, MTV ini memaparkan sekitar proses rakaman lagu 'Untukmu... Kini' dan juga rangkuman sedutan MTV-MTV yang pernah diterbitkan sebelum ini. Dari segi kualiti bukanlah MTV yang boleh dibanggakan sangat tetapi dengan status MTV ini yang ala-ala DokuMTV, ianya memang mampu mengimbau nostalgia momen kegemilangan Feminin suatu masa dahulu.


Khamis, April 21, 2011

MTV Kehadiran - Feminin


MTV 'Kehadiran' merupakan satu-satunya MTV yang diterbitkan sempena pelancaran album ketiga Feminin iaitu 'Feminin Kembali'. Lagu 'Kehadiran' dipilih untuk dijadikan MTV kerana ia merupakan single pertama daripada album ini. Disebabkan kemelesetan ekonomi dunia yang secara langsung menggugat jumlah penjualan album, maka single-single Feminin selepas itu seperti 'Hanya Sekali', 'Ride & Slide' dan 'Cinta Abadi', tiada MTV yang diterbitkan.

Penggambaran MTV 'Kehadiran' ini keseluruhannya dilakukan di dalam studio dengan 2 persalinan. MTV ini tidak terlalu terikat dengan jalan cerita tetapi lebih kepada menonjolkan imej terbaru Feminin yang lebih elegan dan bergaya tinggi. Imej dan MTV ini juga dilihat sesuai dengan kematangan dan pertambahan umur Feminin selain selari dengan pemilihan mereka sebagai duta produk Lux. Ketika ini juga iklan terbaru Lux telah dilancarkan.

Walaupun dari segi kualiti MTV ini tidaklah setinggi MTV Feminin sebelum ini, namun MTV ini masih lagi berada pada tahap memuaskan.

Rabu, April 13, 2011

MTV Dunia Cinta - Feminin


MTV 'Dunia Cinta' merupakan MTV terakhir yang diterbitkan yang juga single terakhir Feminin yang dipetik dari album 'Kini'. Penerbitan MTV ini juga secara tidak langsung telah melengkapkan koleksi 'Video Kini Feminin' yang mengandungi 6 MTV berserta temuramah anggota dan orang kuat dibelakang kejayaan Feminin. 

Jalan cerita MTV ini tidaklah terlalu ditekankan sementela penerbitnya mengambil pendekatan campuran antara jalan cerita dan juga teknik sinematografi. Lagu yang masih lagi berkisar kepada alam percintaan menceritakan kepada kerinduan seseorang kepada kekasih hatinya yang jarang/telah lama tidak bersua dan pada masa yang sama mula wujud kesangsian terhadap kesetiaannya.

Penggambaran dilakukan pada waktu malam dengan banyak bermain dengan pencahayaan. Tatarias Feminin juga amat 'trendy' dan 'stylish' menjadikan MTV lagu cinta ini lari daripada tipikal kebiasaan. Walaupun MTV ini merupakan MTV terakhir yang diterbitkan, namun pihak produksi tidak berkrompomi dengan kualiti penghasilannya. 

Rabu, April 06, 2011

MTV Tetap Bersama - Feminin


MTV ini (yang kelima) merupakan antara MTV pelengkap kepada 'Video Kini Feminin' (kalau sekarang artis biasanya akan keluarkan DVD Karaoke...) yang diterbitkan oleh Warner Music sebagai salah satu strategi pemasaran mereka. Strategi yang nyata menjadi ini telah meletakkan Feminin pada aras yang tersendiri berbanding artis-artis lain khususnya artis berkumpulan padu suara.

Seperti MTV 'Sendiri', MTV ini juga lebih menekankan kepada gerak tari, kelincahan serta keceriaan Feminin dalam membuat persembahan. Ia selari dengan julat umur setiap anggota Feminin yang masih remaja serta konsep lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka. Lagu 'Tetap Bersama' merupakan lagu yang menjawab persoalan atau gosip umum yang mengatakan Feminin akan berpecah disebabkan As ingin bergerak solo akibat ketidakpuasan terhadap pengurusan Edd. Ternyata ia hanya khabar angin sahaja dan lagu ini sebagai bukti menekankan lagi perpaduan di kalangan mereka masih utuh.

Penggambaran MTV 'Tetap Bersama' dilakukan keseluruhannya pada waktu malam dengan Feminin memilih penampilan yang agak gothic dan funky. MTV ini turut memperkenalkan kumpulan Dee Boyz sebagai kumpulan tari latar mereka. MTV ini diakhiri dengan menampilkan semua yang terlibat dalam membangunkan jenama Feminin seperti jurumekap, perunding imej, koreografi dan lain-lain lagi.