Isnin, Oktober 28, 2013

Feminin Fan Club

Kegemilangan kumpulan Feminin di awal 90an dahulu meninggalkan kesan bukan sedikit kepada dunia hiburan amnya dan para peminat mereka khususnya. Di ketika itu, kelahiran 'fan club' seseorang artis menjadi penanda aras kepada pengaruh yang mereka miliki. Feminin antara nama besar dalam industri turut tidak ketinggalan mewujudkan kelab peminat sebagai platform peminat untuk berkumpul dan mendapatkan info terkini mengenai artis pujaan mereka.

'Feminin Fan Club' telah dilancarkan hampir serentak dengan kelahiran album debut ketiga mereka iaitu album 'Kembali'. Bagi memudahkan para peminat untuk menyertai kelab ini, borang keahlian telah disertakan dalam setiap kaset/CD dengan yuran keahlian sebanyak RM30. Turut disertakan adalah borang untuk peminat yang berminat untuk membeli T-Shirt istimewa Feminin dengan harga RM29.90.



Contoh borang keahlian yang perlu diisi peminat yang berhasrat menyertai 'Feminin Fan Club'.
 
Antara rekabentuk T-Shirt istimewa daripada Feminin untuk dimiliki oleh peminat mereka.


Seperti yang dijangka, sambutan terhadap kelab peminat ini amat memberangsangkan. Banyak aktiviti telah dilaksanakan sebagai tanda penghargaan Feminin kepada penyokong-penyokong mereka. Selain itu, mereka yang menjadi ahli kelab ini turut mendapat keistimewaan berbentuk diskaun sekiranya mereka membeli pakaian serta barang-barang cenderamata di Feminin Butik selain perkhidmatan dandanan di Feminin Salon.

Sepit rambut 'fancy' antara trademark Feminin, turut boleh dimiliki peminat daripada Feminin Butik pada harga istimewa.

Button menarik kumpulan Feminin antara cenderamata yang disediakan oleh Feminin.

Mug istimewa Feminin antara koleksi mesti milik jika anda adalah peminat sejati kumpulan Feminin.


Hubungan peminat dan artis umpama aur dan tebing yang saling melengkapi serta memerlukan antara satu sama lain. Pada era 90an, fan club adalah antara inisiatif berkesan yang boleh diambil untuk merealisasikan keakraban ini. Kewujudan Feminin Fan Club mengukuhkan lagi nama Feminin dan kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini bila mana keutuhan peminat terhadap kumpulan ini terus kekal segar selamanya. 

Rabu, Oktober 09, 2013

Muzik Muzik 1997 Artis Undangan - Kehadiran (Live)




Seingat kami ini merupakan satu-satunya persembahan Feminin untuk rancangan Muzik Muzik setelah kelahiran album 'Kembali'. Ketika ini mereka telah diundang sebagai tetamu undangan bersempena kelahiran album baru. Di penghujung rancangan Feminin telah mendendangkan lagu 'Kehadiran' secara langsung dengan begitu sempurna. Sebagai makluman, bermula tahun 1997, Muzik Muzik lebih mengutamakan persembahan secara langsung untuk artis jemputan sebagai cara membuktikan keupayaan seseorang artis untuk menyanyi khususnya apabila terpilih ke separuh akhir nanti.

Pada kali ini Feminin telah memilih pakaian sedondon bewarna biru gelap untuk digayakan. Dress mengikut bentuk badan daripada fabrik satin ini begitu sesuai dan kena dengan mereka yang mula menginjak ke alam dewasa. Busana ini pernah digayakan Feminin semasa mereka menjayakan iklan Lux. Persalinan ini juga menjadi trademark imej untuk album ketiga mereka 

Lagu ini turut dicalonkan dalam carta melalui penayangan video klip sahaja tanpa kehadiran Feminin pada episod yang lain. Namun, kedudukan lagu ini di dalam carta kurang baik menyebabkannya tidak tercalon untuk ke separuh akhir. Walau bagaimanapun, sebagai peminat tegar, persembahan ini sudah cukup memuaskan dengan lontaran suara As yang jelas serta harmoni vokal yang diadun indah menjadikannya sesuatu yang boleh dibanggakan!