Rabu, Disember 31, 2014
Jumaat, Disember 12, 2014
Photos Collection - Tour @ Sarawak
Ingin kami rakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada GOFF dari Sarawak yang sudi berkongsi bahan-bahan kali ini iaitu sekitar rangka promosi Feminin untuk album 'Kini' di Bumi Kenyalang. Saksikanlah antara kenangan mereka di sana yang sempat dirakam untuk kongsian kita bersama.
Antara aktiviti yang sempat Feminin lakukan adalah menaiki bot penampang bagi merentasi Sungai Sarawak. Sekarang kawasan ini lebih dikenali sebagai Waterfront Kuching. |
Foto yang dirakam ketika melawat salah sebuah rumah peminat bertuah yang terpilih. Feminin yang turut diminati oleh golongan kanak-kanak begitu mesra dan bersahaja melayani mereka. |
Walaupun punya nama yang besar, mereka tetap tampil 'humble'. Inilah yang menjadikan Feminin dan peminat mereka semakin rapat kerana jurang yang hampir tiada antara artis dan peminat. |
Sesi bertemu peminat di salah sebuah kedai muzik di bandaraya Kuching. |
Kenangan Feminin bersama Edd Razhe & anggota Dee Boys setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. |
Kenangan di belakang pentas bersama peminat-peminat sebelum Mini Showcase mereka. |
Kempen promosi yang agak padat ini dilakukan Feminin dengan penuh santai selain menikmati sepenuhnya masa-masa terindah bersama peminat mereka di sana kerana dahulu jarak antara semenanjung dan juga Sabah/Sawarak agak 'jauh' berbanding sekarang. Kini dengan pelbagai pilihan pengangkutan selain hubungan alam maya, jarak yang jauh ternyata semaking dekat. Namun ia tidak pernah menjadi alasan untuk peminat di Borneo menyokong kerjaya seni Feminin!
Khamis, November 13, 2014
Hitam Putih... Feminin...
Sedikit kelainan kali ini, selepas sekian lama kita diwarnai dengan warna-warna indah daripada Feminin.. apa kata kita lihat pula kesan apa yang bakal diberi jika Feminin hanya hadir dalam warna HITAM serta PUTIH...
Bold & Beauty!!! Menarik sungguh kesan daripada keberanian mereka bereksperimentasi. Dress labuh yang ditambah dengan elemen 'cowgirl', western style makin terserlah dalam foto hitam putih ini. |
Foto hitam putih ini pula berjaya menghasilkan gaya remaja yang ranggi, ceria dan bertenaga dalam adunan ciri-ciri ketimuran yang tidak disisihkan. |
Apa yang dapat kami simpulkan, biarlah sekadar hitam dan putih... kehebatan serta aura legenda yang dimiliki Feminin ternyata mampu memberi 1001 warna serta kisah yang tersendiri buat peminat mereka. Keupayaan mereka untuk berkongsi rasa dan cerita dalam sekeping foto memang diakui dan sukar untuk diadaptasi oleh bukan calang-calang artis. Hanya mereka yang betul-betul tulus dalam berkarya disekalikan dengan bakat unik... maka lahirlah Feminin!
Rabu, Oktober 15, 2014
Photos Collection - Showtime! (Part 2)
Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang kehebatan serta keberkesanan Feminin ketika beraksi untuk satu-satu persembahan semasa zaman kegemilangan mereka dahulu. Mereka tidak pernah berkira di mana persembahan itu diadakan... apa yang penting setiap persembahan itu adalah sesuatu yang unik dan perlu dijayakan dengan sebaik mungkin. Bahagian kedua 'showtime' Feminin ini kami kongsikan kepada semua untuk imbauan manis bersama...
Feminin di awal karier mereka, masih berlima... menjayakan persembahan untuk konsert di Pesta Pulau Pinang. Dahulu, acara ini menjadi antara ikonik kepada pulau mutiara. |
Peminat mereka di mana sahaja... Penjara Kajang antara tempat yang Feminin jejaki demi menghiburkan penggemar mereka. |
Menghadiri sidang akhbar pengumuman senarai lagu-lagu yang berjaya ke separuh akhir Muzik-Muzik. Ketika ini Feminin mencalonkan lagu 'Untukmu'. |
Gaya persembahan yang bersahaja tetapi cukup terkesan daripada Feminin ketka menjayakan Konsert Warner Music di Dataran Merdeka. |
Feminin sebagai artis jemputan semasa pertandingan akhir Dewi Remaja anjuran majalh Remaja. Pada kami merekalah Dewi Remaja yang sebenar dan selamanya! |
Tidak kira apa yang diberlaku dipentas, persembahan tetap dilakukan dengan penuh kejujuran. Terserlah tahap profesionalisme dan kejujuran mereka sebagai artis sejati. |
Aksi Feminin semasa ditemubual oleh pengacara popular ketika itu saudara Azwan Ali. |
Jika diperhatikan setiap persembahan, Feminin akan tampil berbeza dan tersendiri, menjadikan mereka terus diikuti bukan sekadar ingin menikmati lagu-lagu hebat mereka tetapi juga untuk melihat rupa terkini yang mereka gayakan. Tidak perlu rasanya untuk kami memberi ulasan panjang lebar kerana... biarlah gambar berbicara...
Jumaat, September 19, 2014
Trivia : Apa Yang Anda Tidak Tahu Mengenai Feminin
Berbicara mengenai Feminin, sebagai peminat mereka, kami yakin ramai di antara kita yang mengetahui segala-galanya tentang kumpulan istimewa ini. Blog ini juga bermula daripada tahun 2009 telah berkongsi pelbagai cerita mengenai Feminin. Namun tahukah anda masih terdapat info-info yang mungkin masih belum diketahui umum atau di luar pengetahuan GOFF?!
Untuk itu, entri kali ini kami titipkan sebuah trivia 'Apa Yang Anda Tidak Tahu Mengenai Feminin?'. Moga GOFF bersedia kerana mungkin ada maklumat-maklumat yang dikongsi agak kontroversi dan sensasi. Mari bersama selami dan kenali lagi idola kita ini.
Emi QT Menganggotai Feminin?!
Umum mengetahui Feminin bermula dengan lima ahli, tetapi tahukah anda Emi daripada kumpulan QT pernah menjadi anggota Feminin pada awal penubuhan kumpulan ini. Namun atas pelbagai faktor, tempat Emi QT telah digantikan dengan Along sebelum proses rakaman album 'Untukmu' dilakukan.
Emi QT berdiri sebelah kanan di barisan hadapan. |
Kad Autograf Feminin
Di era 90an, peminat-peminat artis sering mendapatkan tandatangan artis pujaan mereka sebagai tanda sokongan. Autograf ini pula akan diturunkan samada pada kaset/CD, pakaian atau lain-lain barangan peribadi peminat. Tahukah anda bagi menghargai peminat, Feminin telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan menyediakan 'Kad Autograf Feminin' yang telah ditandatangani oleh kesemua anggota bagi diberi kepada para peminat. Kad ini mula diperkenalkan semasa album 'Kini' dikeluarkan. Dengan adanya kad ini, peminat tidak perlu berebut-rebut untuk mendapatkan kesemua tandatangan anggota Feminin!
Kad Autograf Feminin untuk diedarkan kepada peminat. |
Surat Peminat
Dunia siber mungkin agak asing pada zaman dahulu. Justeru itu, surat adalah antara medium terbaik untuk berhubung antara peminat dan artis kegemaran mereka. Perkara ini tidak terlepas juga kepada Feminin. Saban minggu mereka menerima begitu banyak surat daripada peminat mereka. Tahukah anda, bahawa Feminin akan memperuntukan sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk membaca dan membalas sendiri menggunakan tulisan tangan mereka surat-surat peminat. Itulah antara tanda Feminin amat menghargai peminat mereka.
Antara contoh surat balasan tulisan tangan daripada Feminin untuk peminat tersayang! |
Kelab Peminat
Jika zaman sekarang kelab peminat umpama suatu kewajipan bagi setiap artis bagi meneruskan kelangsungan kerjaya mereka, tetapi tidak untuk artis-artis dahulu kerana hanya artis mencapai taraf 'A' layak untuk menubuhkan kelab peminat mereka. Tahukah anda Feminin merupakan antara artis terawal yang mempunyai kelab peminat mereka sendiri. Logo dan slogan 'Feminin is OK' serta lain-lain barangan esklusif seperti alat tulis dan t-shirt telah diperkenalkan sebagai kenangan bagi mereka yang menyokong Feminin tanpa jemu.
Inilah borang keahlian yang perlu diisi untuk menjadi anggota Kelab Peminat Feminin. |
T-shirt yang diberi kepada setiap yang menganggotai Kelab Peminat Feminin. |
Majlis Anugerah Utama Negara
Dahulu majlis anugerah tidaklah sebanyak yang ada dianjurkan sekarang. Untuk itu dengan lambakan artis yang ada, setiap artis yang dicalonkan pasti mendapat perhatian media dan juga masyarakat. Dalam kata lain, dengan saingan yang sengit hanya yang betul-betul layak akan tercalon untuk satu-satu anugerah. Sudah pasti bagi yang menang akan mendapat lonjakan publisiti yang bukan sedikit kesannya. Tahukah anda Feminin pada masa itu turut tidak ketinggalan tercalon dan memenangi anugerah, ianya menjadi bukti yang kehadiran mereka seiring antara kualiti dan populariti.
Gambar kenangan Feminin bersama para pemenang Anugerah Industri Muzik yang PERTAMA. Mereka tercalon dan menjadi pemenang untuk kategori Artis Baru Berkumpulan Terbaik! |
Penghias Muka Depan Majalah
Penghias muka depan majalah dan Feminin memang sinonim bagaikan aur dan tebing. Setiap tahun Feminin pastinya menjadi pilihan penghias muka depan untuk setiap penerbitan yang ada ketika itu. Tahukah anda selain berkumpulan setiap anggota Feminin khususnya As sering juga dipilih menjadi penghias muka depan majalah. Walaupun tidak selalu kerana bukan polisi Feminin untuk mengenengahkan anggotanya secara solo, namun kerana nilai dan permintaan undangan itu tetap dipenuhi.
Rabu, Ogos 13, 2014
Feminin dan Mentor
Umum sedia maklum ramai pihak yang bertanggungjawab dalam memasyhurkan nama Feminin. Selain pengurus mereka, saudara Edd Razhe yang menjadi 'mastermind' segalanya, KRU adalah antara mereka yang terlibat sama. KRU dilihat pihak yang menjadi penentu arah dalam pemilihan genre muzik yang perlu dibawa pada awal kemunculan Feminin. Ternyata pemilihan KRU sebagai antara mereka yang terlibat dalam penerbitan album pertama memberi impak yang cukup besar dalam kerjaya Feminin.
Lagu 'Untukmu' ciptaan sepenuhnya KRU berjaya mencipta fenomena bukan sedikit dalam dunia seni ketika itu. Irama yang agak baru pada pendengaran penggemar muzik tempatan yang diperkenalkan KRU itu, mampu memikat pendengar dan terus menjadi hit dan juara dalam carta-carta lagu utama negara. Banyak lagi lagu-lagu ciptaan KRU untuk album debut Feminin seperti Feminin (lagu pengenalan kumpulan), Syurga Dunia dan Selamat Tinggal Cinta.
Jadi tidak keterlaluan jika kami sifatkan KRU merupakan mentor kepada Feminin khusunya dalam pemilihan lagu. Kerjasama ini juga turut membantu KRU dalam membina nama sebagai pencipta lagu. Kerjasama bijak ini diteruskan lagi semasa penerbitan album kedua Feminin iaitu 'Kini', dalam album ini KRU terlibat lebih 90% dalam proses penerbitan. Hasilnya amat membanggakan bilamana ianya meninggalkan kesan hebat kepada khalayak seterusnya mengukuhkan lagi nama Feminin.
Feminin dan KRU umpama aur dan tebing, pelengkap antara satu sama lain. |
Sementalah kedua-dua kumpulan ini merupakan pencetus kepada penyanyi berkumpulan tanahair, nama mereka amat besar ketika itu dan sering dipilih untuk menghiasi majalah-majalah hiburan tanahair. Selain minat dan genre muzik yang sama, keakraban Feminin dan mentornya umpama rapatnya hubungan abang dan adik, tidak lebih daripada itu. Walaupun ada gosip-gosip cinta terutamanya antara As dan juga Norman, namun ianya hanya sekadar gossip semata.
Berikut kami kongsikan antara sesi fotografi yang sempat dijayakan oleh Feminin dan KRU. Dari foto-foto ini terserlah keintiman antara protege dan mentor ini.
Pin-up URTV sempena hari raya 1994. |
' Abang' yang dikelilingi adik-adik Feminin! |
Feminin dan KRU, bergabung... Bagaikan sebuah keluarga besar! |
Ini pula ketika sesi fotografi majalah Media Hiburan raya untuk tahun 1995. |
Walaubagaimanapun, untuk album ketiga Feminin, khidmat KRU tidak digunakan kerana Feminin ingin memberi kelainan dalam karya mereka. Selain itu KRU juga sedang memberi tumpuan memperkenalkan artis pertama naungan mereka iaitu kumpulan Elite. Ianya bukanlah penamat kepada sebuah persahabatan antara guru dan anak didiknya. Untuk pengetahuan semua, sepanjang kehadiran Feminin dalam dunia hiburan tanahair, mereka tidak pernah berada di bawah satu label dengan KRU atau menjadi artis naungan KRU.
Khamis, Julai 17, 2014
Photos Collection - Hari Raya (Part 7)
Musim raya tiba lagi... Setelah bertahun-tahun kita lihat gaya Feminin di Aidilfitri semasa mereka masih aktif sebagai artis, apa kata kali ini kami kongsikan pula gaya raya mereka terkini setelah Feminin mengundur diri dari dunia seni.
Dalam pada kita sibuk membuat persiapan lebaran, mari saksikan gaya raya Feminin setelah mereka berkeluarga. Moga menambahkan lagi keceriaan dan kemeriahkan Syawal kali ini!
As bersama suami tercinta di pagi Syawal. Tetap cantik walaupun dengan tatarias yang amat nipis. |
Tulang belakang As... suami dan anak-anak! Untuk makluman, sehingga kini As sudah dikurniakan dengan 4 orang cahaya mata. |
Seperti kebanyakan keluarga yang lain di pagi raya, As turut memilih busana tradisional dengan warna sedondon satu keluarga. |
Yatie pula lebih selesa tampil dengan busana jubah warna terang yang kena dengan tona kulitnya yang cerah. Bergambar kenangan bersama suami tercinta, Yatie nyata nampak muda dan ayu di pagi raya. |
Gambar keluarga Yatie, istimewa dirakam untuk 1 Syawal. Untuk makluman, raya Yatie kali ini akan lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata nya yang pertama. |
Gambar keluarga Along di awal Syawal! |
Sempena kehadiran bulan yang mulia ini, kami di Just Feminin ingin menyusun jari memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan kami sepanjang berada di alam maya ini berkongsi rasa dan cerita mengenai Feminin. Terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan GOFF yang tetap utuh untuk lebih 20 tahun. Teruslah menyokong kami dan jangan lupa untuk berkongsi segala material berkenaan Feminin bersama-sama kami serta berilah sebarang idea yang bernas untuk memastikan Feminin terus kekal relevan sepanjang zaman. Feminin is OK!
Rabu, Jun 18, 2014
Dare to be FEMININ!
FEMININ... satu nama yang bukan sahaja gah di persada muzik tanahair, nama ini juga memberi impak dalam merubah cara artis tampil dalam mencipta kelainan ketika satu-satu sesi fotografi. Bagi mereka, bergambar untuk sesebuah penerbitan, bukan sekadar gambar tetapi satu medium untuk bereksperimentasi imej, watak dan berkongsi cerita yang berbeza.
Memang banyak fotografi Feminin yang unik serta tersendiri dan menjadikan mereka berada pada kelas yang tersendiri. Namun bagi kami dua sesi bergambar masing-masing satu bersama majalah Media Hiburan dan Hai adalah yang teratas, sehinggakan sehingga kini ianya masih belum mampu ditandingi mahupun menyamainya.
Feminin Botak!
Seingat kami, inilah satu-satunya artis yang sanggup berimej botak bagi dirakam gambarnya, dan yang lebih hebat dipilih menjadi penghias depan majalan hiburan utama negara ketika itu. Selain berani mencuba sesuatu yang segar, sesi ini juga cuba menyampaikan bahawa Feminin adalah serius dalam menceburkan diri ke industri muzik serta sanggup menongkah arus agar mereka punya tempat di hati peminat.
Berjenaka dengan kepala 'botak' mereka... |
'Botak' in the making... final touch! |
Botak tetap menawan! |
Tanpa tatarias, Feminin tetap cantik dengan keayuan asli mereka. |
Hasil akhir yang bikin negara 'gempar'... hakikatnya sekadar satu teknik make up yang berbeza dan perlukan keberanian. |
Sementalah dengan kelahiran album 'Kini', mesej ini amat berjaya disampaikan hingga meletakkan Feminin dipuncak kejayaan.
Emas Feminin
Satu lagi sesi fotografi Feminin yang tidak kurang kesannya adalah ketika mereka me'emas'kan diri mereka. Kali ini untuk majalah Hai. Ketika foto-foto ini diambil, Feminin sedang menuju pengakhiran kerjaya, namun sedikit pun tidak membantutkan kreativiti mereka dalam meneruskan manifestasi mereka melalui gambar.
Watak 'emas' dipilih sebagai penutup kerjaya mereka... |
...menyerlahkan misi mereka mencipta nama berjaya... |
...dan hadir bukan sekadar seketika tapi bakal diingati selamanya. |
Moga nilai 'emas' ini dapat dinikmati oleh bergenerasi lamanya. |
Kejujuran serta keikhlasan Feminin diserlahkan walaupun mereka setinggi emas nilainya. |
'Emas' tulen yang terus bersinar... |
Syot terbaik yang dipilih untuk dijadikan penghias hadapan. |
Dengan mewarnakan diri mereka dengan emas, ianya cuba menyampaikan mesej bahawa nilai Feminin kini amat beharga seumpama emas. Walaupun mereka telah tiada dalam bidang seni lagi, kerana nilai emas yang tidak pernah susut menjadikan nama mereka akan terus diingatan untuk satu tempoh yang bukan pendek. Ternyata ianya bukan sekadar 'syok' sendiri tetapi dibuktikan kerana sehingga kini setelah lebih 20 tahun, nama Feminin masih segar dan belum lagi ada yang mampu mengambil tempatnya.
Langgan:
Catatan (Atom)