Rabu, Ogos 13, 2014

Feminin dan Mentor

Umum sedia maklum ramai pihak yang bertanggungjawab dalam memasyhurkan nama Feminin. Selain pengurus mereka, saudara Edd Razhe yang menjadi 'mastermind' segalanya, KRU adalah antara mereka yang terlibat sama. KRU dilihat pihak yang menjadi penentu arah dalam pemilihan genre muzik yang perlu dibawa pada awal kemunculan Feminin. Ternyata pemilihan KRU sebagai antara mereka yang terlibat dalam penerbitan album pertama memberi impak yang cukup besar dalam kerjaya Feminin.

Lagu 'Untukmu' ciptaan sepenuhnya KRU berjaya mencipta fenomena bukan sedikit dalam dunia seni ketika itu. Irama yang agak baru pada pendengaran penggemar muzik tempatan yang diperkenalkan KRU itu, mampu memikat pendengar dan terus menjadi hit dan juara dalam carta-carta lagu utama negara. Banyak lagi lagu-lagu ciptaan KRU untuk album debut Feminin seperti Feminin (lagu pengenalan kumpulan), Syurga Dunia dan Selamat Tinggal Cinta.

Jadi tidak keterlaluan jika kami sifatkan KRU merupakan mentor kepada Feminin khusunya dalam pemilihan lagu. Kerjasama ini juga turut membantu KRU dalam membina nama sebagai pencipta lagu. Kerjasama bijak ini diteruskan lagi semasa penerbitan album kedua Feminin iaitu 'Kini', dalam album ini KRU terlibat lebih 90% dalam proses penerbitan. Hasilnya amat membanggakan bilamana ianya meninggalkan kesan hebat kepada khalayak seterusnya mengukuhkan lagi nama Feminin.


Feminin dan KRU umpama aur dan tebing, pelengkap antara satu sama lain.

Sementalah kedua-dua kumpulan ini merupakan pencetus kepada penyanyi berkumpulan tanahair, nama mereka amat besar ketika itu dan sering dipilih untuk menghiasi majalah-majalah hiburan tanahair. Selain minat dan genre muzik yang sama, keakraban Feminin dan mentornya umpama rapatnya hubungan abang dan adik, tidak lebih daripada itu. Walaupun ada gosip-gosip cinta terutamanya antara As dan juga Norman, namun ianya hanya sekadar gossip semata.

Berikut kami kongsikan antara sesi fotografi yang sempat dijayakan oleh Feminin dan KRU. Dari foto-foto ini terserlah keintiman antara protege dan mentor ini.


Pin-up URTV sempena hari raya 1994.

' Abang' yang dikelilingi adik-adik Feminin!

Feminin dan KRU, bergabung... Bagaikan sebuah keluarga besar!


Ini pula ketika sesi fotografi majalah Media Hiburan raya untuk tahun 1995.


Walaubagaimanapun, untuk album ketiga Feminin, khidmat KRU tidak digunakan kerana Feminin ingin memberi kelainan dalam karya mereka. Selain itu KRU juga sedang memberi tumpuan memperkenalkan artis pertama naungan mereka iaitu kumpulan Elite. Ianya bukanlah penamat kepada sebuah persahabatan antara guru dan anak didiknya. Untuk pengetahuan semua, sepanjang kehadiran Feminin dalam dunia hiburan tanahair, mereka tidak pernah berada di bawah satu label dengan KRU atau menjadi artis naungan KRU.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan