Ini merupakan antara persembahan Feminin di zaman kemuncak populariti mereka. Rakaman yang dijalankan di Auditorium Perdana, Angkasapuri ini sempena konsert khas akhir tahun 1994 yang dianjurkan oleh Radio Muzik. Untuk makluman, ketika itu Radio Muzik merupakan stesen radio nombor satu dari segi jumlah pendengar (Radio Era masih belum wujud lagi...).
Feminin dipilih membuat persembahan kerana mereka telah menjadi artis paling lama bertahan dalam carta Lagu Popular Radio Muzik sepanjang tahun 1994 dengan lagu 'Kini'. Namun begitu, disebabkan mereka pernah mendendangkan lagu 'Kini' dalam persembahan lain di RTM sebelum ini, untuk konsert ini mereka telah memilih lagu 'Sendiri' sementelah mereka juga sedang dalam proses memperkenalkan single terbaru mereka ketika itu.
Persembahan secara miming dengan diiringi tarian latar dari kumpulan D'Boys ini digunakan sebaik mungkin dengan memperlihatkan gerak tari unik dan tersendiri mereka. Mengenakan persalinan baju putih lengan panjang, skirt hitam pendek dan stoking paras lutut disertakan tatarias yang ala-ala futuristik, ternyata hasilnya satu kombinasi fesyen yang menakjubkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan