Selasa, November 09, 2021

MTV Karaoke Album Kembali - Part 2

Kesinambungan daripada post sebelum ini, diskografi kumpulan Feminin untuk album 'Kembali' kami teruskan. Kali ini lagu-lagu dendangan mereka bagi side B.



Lagu 'Godaan Kotaraya' lebih kepada percubaan kumpulan Feminin untuk bernostalgia dengan lagu berentak pop 80an. Lagu yang agak mesra pendengar ini tidaklah begitu kompleks untuk diulas. Cuma keistimewaannya terletak kepada lirik yang lari daripada tema cinta. Lirik lagu ini lebih kepada peringatan daripada Feminin kepada golongan remaja khususnya supaya berhati-hati dengan kehidupan di kotaraya dan jangan sesekali lupa akan budaya asal kita.




'Penawar Luka' adalah antara lagu balada yag tidak kurang hebatnya. Lagu ini seperti lagu berentak perlahan yang lain, lebih ditumpukan kepada penghayatan serta vokal harmoni Feminin. Apa yang berbeza pada naskhah ini adalah pada penulisan lirik. Jika diteliti, lirik lagu ini tidak berulang tetapi lebih kepada bercerita dari mula hingga pengakhiran rasa hati yang berbolak balik samada mahu menerima cinta baru selepas masih terkesan dengan kegagalan cinta sebelum ini.



.

Lagu 'Pesanan' mengembalikan kumpulan Feminin kepada rentak asal di awal penubuhan mereka iaitu Hip Hop dan Rap. Memandangkan ini adalah forte Feminin, tiada yang kurang pada lagu ini. Setiap anggota telah diberi peluang sama rata untuk menyumbangkan suara. Menjadikan 'Pesanan' Feminin kepada peminat mereka lebih sampai, apabila lirik lagu ini mendapat sentuhan peribadi mereka.




'Aturkan' adalah satu lagi naskhah istimewa kumpulan Feminin yang agak terkehadapan pada masa ianya diterbitkan. Lagu berentak Funky R&B ini agak berbeza berbanding lagu-lagu semasa ketika itu. Disertakan dengan susunan muzik yang segar dan lain daripada yang lain, lagu ini sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi pilihan pendengar, mungkin jika Feminin dapat bertahan aktif sehingga awal 2000an. Lari dari tema cinta, lirik lagu ini nukilan seorang wartawan yang ikonik iaitu Huzz, lebih kepada motivasi kepada pendengar untuk sentiasa merancang kehidupan supaya lebih bersedia berhadapan segala kemungkinan. Setiap anggota Feminin mempunyai peranan dalam 'Aturkan' dan harmoni suara mereka amat terserlah dalam lagu ini.




Lagu ini merupakan single kedua untuk album 'Kembali'. 'Cinta Abadi' sebuah lagu balada romantik yang berjaya disampaikan oleh kumpulan Feminin dengan penuh dinamik dan menusuk kalbu. Lagu ini selain sinonim dengan kisah cinta, ianya turut boleh dikaitkan dengan unsur ketuhanan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan