Rabu, Mei 21, 2014

Photos Collection - Cover Page (Part 2)

Semua sedia maklum kumpulan Feminin sering dipilih menjadi penghias depan sesebuah penerbitan semasa kegemilangan mereka dahulu. Berbekalkan produk seni yang berkualiti dan relevan dengan suasana semasa serta imej penampilan dan gaya bergambar yang segar, ternyata percaturan pihak penerbitan adalah tepat dalam meraih perhatian masyarakat.

Untuk bahagian kedua ini, kami kongsikan lagi gambar-gambar cetakan hiburan yang pernah menjadikan Feminin sebagai 'cover page'. Kebanyakan gambar ini adalah sumbangan GOFF yang belum ada dalam simpanan kami. Penghargaan yang tidak terhingga buat semua...

Ini merupakan debut sulung Feminin sebagai penghias muka hadapan majalah. Ternyata tindakan berani Media Hiburan yang memang sering jarang gagal mengenalpasti bakal bintang membuahkan hasil!

Sekali lagi Feminin dipilih MH menjadi 'cover page'. Kali ini mereka tampil mempromosikan album Kini dan juga imej baru Feminin yang terus menjadi ikutan remaja selepas itu.

Majalah 'Pesta' (kini terbitan ini telah ditamatkan) turut tidak melepaskan peluang menyambar Feminin untuk dijadikan penyeri penerbitan mereka.

URTV pula memilih Feminin sebagai taruhan untuk menjual majalah mereka bagi edisi kedua terhangat tahunan iaitu bulan Ramadhan (edisi utama adalah keluaran Aidilfitri). Kebijaksanaan Feminin dalam pemilihan gaya menjadikan edisi ini antara yang berjaya di pasaran!

'Cover page' pertama Feminin setelah mereka tinggal bertiga. Majalah 'Jelita' sebuah majalah berkonsepkan fesyen dan kecantikan berjaya menyerlahkan lagi aura serta keayuan Feminin.


Dengan populariti serta aura yang luarbiasa, walau tidak selalu kerana bukan amalan Feminin, anggota-anggota Feminin turut pernah muncul solo sebagai penghias depan majalah. Berikut antara yang sempat kami kumpulkan.

Dipercayai Along merupakan anggota pertama Feminin yang dipilih untuk tampil solo sebagai penghias depan. Seperti biasa, MH  lah yang pertama memulakannya.

Antara pesaing utama MH, URTV turut tidak mahu ketinggalan dengan memilih As sebagai gadis muka depan mereka.

Sebagai vokal utama Feminin, As memang mempunyai auranya yang tersendiri. Justeru itu, MH telah memilihnya untuk digandingkan dengan penyanyi Zarul Umbrella sebagai 'cover page'.

Jumaat, Mei 09, 2014

Feminin Tak Selincah Dahulu

Artikel diambil daripada Harian Metro - Sisipan Metro Bintang

Berikutan faktor umur dan ada sudah berumahtangga.

Gaya tarian lincah yang dibentuk oleh pengurus mereka, Edd Razhe (Edd), berjaya membentuk Feminin menjadi kumpulan remaja yang paling menonjol, sembilan tahun lalu.

Kelincahan tarian mereka memikat mata yang memandang. Namun kejayaan kumpulan dibarisi empat remaja itu dibayangi 'kelemahan' mereka yang dikatakan gemar miming di pentas.

Bagaimanapun kritikan sinis sedemikian cuma menjual rupa dan gaya sedangkan suara tidak ke mana tatkala beraksi tidak sesekali memberi tekanan kepada mereka.

Lantas selaku artis Warner Music, Feminin berjaya melahirkan tiga album, Untukmu, Kini dan Kembali.

Kini, selepas sembilan tahun membawa haluan sendiri, buat julung kalinya sesudah empat anggotanya berjaya menunaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga, Feminin kembali dengan corak dan langkah baru.

Pertemuan semula empat anggota asal Feminin, As (Asfarina Mohd), 30, Wati (Rozilawati Mohd), 28, Yati (Andriaty Abdul Rahman), 27 dan Deq Nor (Nor Intan Zanariah Zaharin), 28 adalah atas permintaan peminat.

Tiga sudah berkeluarga manakali Yati masih bersendirian melayari kehidupan. Yati berkelulusan diploma perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekarang menjawat jawatan akauntan di Syarikat Penerbangan Air Asia.

Menjelaskan tindakan mereka dulu yang memilih atau menyelamatkan keadaan dengan miming, mereka berempat mempunyai alasan yang kukuh.

"Konsep album kamu dulu banyak memuatkan lagu rancak kerana kekuatan Feminin kala itu pada kelincahan gerak tarian kami. Menari dan menyanyi sukar dilakukan sekali gus.

"Kami tidak mahu langkah Feminin sumbang disebabkan terpaksa beri fokus kepada dua perkara pada satu masa. Menyedari kelebihan Feminin pada tarian elok kami mengutamakan kemahiran itu.

"Jadi demi memantapkan tarian, Feminin memilih untuk miming. Tetapi bagi kami ia perkara biasa kerana artis antarabangsa pun ada melakukannya (miming).

"Sekarang selepas sembilan tahun, pertambahan usia dan status sebagai isteri serta ibu, Feminin kini tidak terfikir untuk beraksi selincah dulu. Tidak sesuai rasanya seperti As yang baru mendirikan rumah tangga dan Wati ibu kepada dua cahaya mata terkinja-kinja di pentas," kata Yati mewakili rakannya ketika mereka bertiga berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini. Pada pertemuan itu, Deq Nor tidak datang kerana terikat dengan hal peribadi.

Meskipun belum mendirikan rumah tangga, Yati juga berasa tidak selesa 'melompat' di hadapan penonton seperti dulu. Feminin kini bergerak selaras usia dan perubahan hidup yang dialami.

Menurut Yati, ketika mereka sibuk membina masa depan sendiri, Feminin berhutang satu album dengan Warner Music. Tiga tahun lamanya Warner Music dan Edd yang masih menjadi pengurus mereka berbincang untuk menyatukan mereka berempat.

Hanya kini cadangan itu dapat dilaksanakan. Pertemuan semula in lebih berupa 'reunion' dan album yang dihasilkan adalah album kompilasi menyisipkan lagu terbaik dari ketiga-tiga album lalu.

"Feminin cuma masuk studio rakaman untuk memberi nafas baru kepada lagu Hanya Untukmu. Ingin saya tegaskan di sini kehadiran semula bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi demi memenuhi permintaan peminat yang sekian lama merindui kemunculan kami.

"Mengambil masa sembilan tahun untuk aktif balik suatu jangka yang agak lama namun ia tidak merunsingkan kami kerana peminat Feminin masih ada. Lagipun kehadiran semula Feminin sekadar memeriahkan arena seni," kata Yati yang semakin petah berkata-kata.

Bercakap mengenai 'suara' Feminin yang mencetuskan kontroversi, Yati yakin kali ini Feminin melalui fasa perubahan ketara. As mengasah suaranya dengan berkaraoke.

"Saya percaya peminat akan berpuas hati dengan 'suara baru' Feminin. Saya perhatikan suara As banyak berubah.

"Banyak pembaharuan dilakukan termasuk imej dan penampilan yang serasi dengan usia. Itu semua kami serahkan kepada kebijaksanaan abang Edd yang kekal menguruskan kumpulan ini kerana sudah saling memahami hati budi masing-masing.

"Selama ini pun, kami berempat masih tidak pernah putus hubungan dengan abang Edd. Apa lagi saya sekarang bekerja sebumbung dengan abang Edd," jelas Yati panjang lebar.

Tambahnya, ruang untuk Feminin 'tunjuk muka' balik di persada seni kerana kebelakangan ini, radio Ria sering memutarkan lagu Kini yang suatu masa dulu menjadi pujaan ramai.

Di samping peminat sendiri begitu rindu untuk 'bersua' kembali dengan Feminin, situasi itu juga antara penyebab utama tercetusnya ilham menghadiahkan peminat sebuah album reunion.

Edd yang datang sama menemani 'anak buah' kesayanganya itu, berpendapat tugasnya sekarang senang kerana As, Wati, Yati dan Deq Nor sudah pandai jaga diri dan bijak bercakap.

"Kalau dulu saya selalu bercakap bagi pihak mereka, sekarang saya biarkan mereka lepas bebas. Kerana saya yakin mereka boleh mengendalikan sesi temubual media dengan baik.

"Namun saya masih memberi panduan dari imej dan penampilan mereka. Mereka bagaikan adik saya sendiri. Selama sembilan tahun menguruskan mereka, saya melihat setiap detik hidup yang mereka harungi," kata Edd.


Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal.