Artikel diambil daripada Berita Harian - Sisipan Persada Seni
HAMPIR sedekad meninggalkan kerjaya nyanyian, kumpulan wanita popular era 90-an, Feminin tidak pernah menyangka mereka akan kembali bersatu dan berpeluang melangkah semula ke studio rakaman.
Semuanya kerana Untukmu, album kompilasi yang memuatkan lagu terbaik daripada tiga album terdahulu mereka. Album itu bakal menemui peminat bulan depan. Dalam album itu, mereka diberi peluang merakam semula satu lagu, Untukmu yang diberi sentuhan baru oleh Nan.
Namun, Feminin menganggap, kesempatan itu sebagai titik permulaan mereka meneruskan kembali aktiviti seni yang terhenti apabila masing-masing membawa haluan sendiri.
"Berdebar, seronok, terkejut, tak percaya... semuanya bermain dalam fikiran kami ketika ini. Tak pernah terfikir untuk kembali menyanyi walaupun di hati, tertunggu juga mungkin ada peluang untuk Feminin bersatu semula."
"Ia bagaikan suatu kejutan apabila tiba-tiba saja peluang ini datang," kata Yatie sambil ditemani As dan Watie ketika ditemui pada sesi rakaman semula lagu Untukmu di Studio Wake The Baby, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Meskipun perkembangan diri mereka sudah berubah - Yatie kini bertugas bersama Air Asia di Jakarta, Indonesia manakala As dan Watie sudah berumahtangga - mereka tetap bersedia memberi komitmen terbaik untuk menjayakan album itu.
"Mungkin memberi sepenuh komitmen seperti dulu agak sukar, tetapi kami akan memberi yang terbaik untuk pihak yang menjadikan usaha ini suatu kejayaan," katanya lagi.
Tanpa seorang lagi anggota Deq Nor yang meninggalkan kumpulan itu selepas berkahwin, seakan tidak lengkap Feminin. Namun, kata Yatie, mereka begitu berharap Deq Nor akan kembali bersama. Walaupun tidak sebagai penyanyi, tetapi memeriahkan majlis pelancaran album itu kelak.
"Sudah lama kami tidak menemui dia. Kami cukup rindu dengannya tetapi suasana kini sudah tidak sama. Memang janggal apabila hanya tinggal bertiga. Justeru, kami cukup menghargai jika Deq Nor dapat bersama nanti. Feminin membina nama hasil kerja keras kami berempat serta bekas pengurus, Eddris Razhe (Edd). Disebabkan itu, kami berharap Deq Nor dapat bersama pada hari pelancaran nanti." kata Yatie.
Ketika berada di puncak populariti, Feminin pernah merakam tiga album - Untukmu, Kini dan Kembali.
Bagaimanapun, kumpulan yang pernah mencetus fenomena bersama lagu hit Untukmu, Kini dan Rindu tidak mampu bertahan lama. Selepas album terakhir, Kembali dihasilkan pada tahun 1996, mereka membawa haluan sendiri.
Yatie meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala Watie mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. As pula bernikah dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan, awal tahun ini.
"Alhamdulillah... Azman tidak melarang As untuk kembali menyanyi. Dia merestui. Asalkan apa yang dilakukan ini mampu menggembirakan As, dia tidak menghalang. Tetapi, dalam apa juga hal, As tidak akan membelakangkan dia," kata As.
Idea menghasilkan semula album Feminin sebenarnya sudah lama dalam perancangan Warner Music. Berdasarkan maklum balas peminat, banyak permintaan supaya penghasilan semula album itu diusahakan.
Justeru, Warner tidak mengunggu lama. Hasil perbincangan dengan bekas pengurus Feminin, idea itu menjadi kenyataan.
"Memang sudah lama kami nantikan peluang ini. Selepas 10 tahun, tidak sangka akhirnya kami bersatu semula. Projek ini terlalu bermakna kerana ia menyatukan kembali nama yang pernah menaikkan Feminin dulu," kata Edd.
Tambah Edd, seiring peningkatan usia dan kematangan anggota Feminin, Warner dan pihaknya akan menyusun beberapa perancangan untuk memastikan album itu mencatat kejayaan membanggakan.
"Mereka tahu apa yang mereka inginkan. Tidak banyak masalah kerana masing-masing sudah matang dan bersedia untuk kembali," katanya.
|
Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal. |