Isnin, Julai 29, 2013

Photos Collection - Hari Raya (Part 6)

Sempena musim perayaan tahun ini, kami himpunkan kepelbagaian penampilan Feminin di hari raya. Mungkin boleh dijadikan inspirasi anda dalam memilih gaya untuk lebaran kali ini.

Bagi mereka yang berani mencuba sesuatu yang menongkah arus, gaya ini amat bersesuaian untuk dipilih. Skirt kulit yang dipadankan dengan jubah jarang menjadikan si pemakai tampak sopan tetapi 'rugged'.

Ditambah dengan selendang dan stoking sedondon paras peha, sesuai jika lebaran disambut di kota.

Dengan solekan nipis tanpa sebarang aksesori pasti menjadi tumpuan di pagi raya.

Yang inginkan sentuhan retro, gaya ini boleh dicuba. Baju kurung singkat dengan leher potongan lebar menambah keayuan sipemakai. Menambahkan sedikit elemen kontemporari, pilihan kain dari jenis kulit dipadankan dengan gaya ini.

Menaikkan lagi mood retro, dandanan rambut tocang sanggul menyempurnakan lagi penampilan anda.

Untuk menjadikan gaya retro lebih ceria, pemilihan kain dari warna terang amat bertepatan. Pemakaian selendang menambah seri Syawal anda.

Jika berminat dengan gaya klasik, penampilan Feminin ini boleh dicuba. Baju kebarung dari kain lance warna lembut dipadankan pula dengan kain batik serta selendang, menjadikan pilihan klasik lebih 'classy'. Dandanan rambut 60an melengkapkan lagi penampilan klasik ini.

Mahu tampil ringkas? Blaus pendek warna terang dengan potongan tangan paras siku sesuai untuk mereka yang lincah. Untuk menambahkan elemen ketimuran, kain dari corak batik dipilih. Sepit rambut sebagai aksesori tambahan 'memudakan' lagi gaya raya anda.

Sentuhan Feminin terhadap fesyen baba & nyonya ini boleh dipertimbangkan jika mahu tampil berbeza dari tetamu yang lain. Melengkapkan gaya ini, terompah kayu boleh dipilih... pasti sipemakai menjadi tumpuan tetamu yang hadir.

Rupa moden dan ringkas! Blaus merah paras peha dengan potongan ombak yang dipakai sekali dengan kain hitam dari jenis baldu tepat digaya ketika menghadiri jemputan rumah terbuka korporat. Solekan kusam dengan rambut diikat lepas ke depan mematangkan penampilan Feminin.


Rupa gadis genit ceria jika gaya ini disesuaikan dengan penampilan anda!

Penampilan yang ringkas dengan rambut disanggul satu tepat untuk pemakai yang 'happy go lucky'! Warna terang menyempurnakan lagi misi ini...

Rabu, Julai 17, 2013

Lagi Interpretasi Peminat Untuk Feminin

Sekali lagi kami himpunkan interpretasi GOFF untuk satu-satunya kumpulan wanita yang istimewa dan tersendiri iaitu Feminin. Segalanya diterjemahkan ke dalam gambar-gambar Feminin serta video yang dikirimkan kepada kami, semuanya ikhlas dari sanubari anda sebagai tanda sokongan dan sanjungan kepada satu-satunya 'living legend'... kumpulan Feminin.


Kiriman Fisya Kejora - Fisya telah menaik tarafkan gambar lama Feminin kepada lebih bermutu dan segar untuk ditatapi. Hasilnya, gambar Feminin ketika berambut pendek ini kelihatan amat 'current' dan seiring dengan zaman kini.



Kiriman Fitri Zainal Khaleed - Seperti mana Fisya, Fitri juga telah menaik tarafkan gambar Feminin, cuma bezanya Fitri memilih foto hitam putih, imej ketika album ketiga Feminin. Tidak kira samada berwarna atau tidak, apabila di tangan Feminin hasilnya memang cukup menarik untuk ditatapi. Cukup ketara aura yang mereka miliki dalam gambar kiriman Fitri ini



Kiriman Rain Hamzah - Lain pula interpretasi Rain apabila menggunakan kaedah 'super impose' kepada gambar-gambar Feminin. Rain telah memilih gambar ketika Feminin masih berlima dengan imej ceria semasa di awal kemunculan mereka dahulu. Hasilnya memang lain daripada yang lain! Dengan suntikan eleman teknologi, memberikan hasil yang cukup segar dan kreatif.






Kiriman Fairuz Fee Tauhid - Olahan semula video muzik yang diadaptasikan daripada lagu 'Hanya Sekali' ini memang suatu yang kami tunggu-tunggu. Bagaimana orang muda menilai dan menterjemahkan semula lagu Feminin adalah suatu yang unik dan tersendiri. Pemilihan latar cahaya yang suram menyerlahkan lagi sisi romantik lagu ini.



Kiriman Ahmad Yassier - Ini pula video muzik instrumental daripada Ahmad Yassier yang menyampaikan lagu 'Untukmu'. Petikan piano yang sungguh mengasyikkan ini mampu memberi kesan lain kepada lagu malar segar Feminin. Satu pujian kepada atas usaha anda ini.



Khamis, Julai 04, 2013

Discography - 14 Lagu Hit Paling Hebat : 20th Feminin




• Tajuk Album : 14 Lagu Hit Paling Hebat : 20th Feminin
• Terbitan : NSR
• Penerbit : NSR
• Tahun Diterbitkan : 2013
• Jumlah Trak : 14 lagu
• Lagu Popular : Untukmu, Kini & Kehadiran
• Jumlah Jualan : Melebihi 5000 unit


Ulasan :

Bersempena dengan ulangtahun penubuhan rasmi kumpulan Feminin, pihak NSR telah mengambil inisiatif meraikannya dengan menerbitkan satu lagi siri album kompilasi yang menghimpunkan lagu-lagu terbaik daripada Feminin. Tiada lagu baru atau rakaman semula yang dilakukan. Memandangkan kompilasi kali ini adalah terbitan NSR, maka pemilihan lagu-lagu lebih banyak diambil daripada album 'Untukmu' dan juga 'Feminin In the House Mega Mix'. Itulah adalah antara perbezaan kompilasi ini berbanding dengan dua siri kompilasi sebelum ini.

Untuk 'cover album', pihak NSR telah memilih foto daripada imej mereka mula-mula muncul di persada seni tanahair. Foto ketika Feminin masih berlima ini dilihat tepat dengan sambutan ulangtahun mereka di samping menjadikan album ini kelihatan segar serta sesuai dengan keadaan semasa. Mungkin faktor hakcipta, hanya lagu-lagu yang biasa didengar daripada album 'Kini' dan 'Kembali' yang diambil. Sedikit unik apabila lagu raya malar segar Feminin turut disenaraikan kali ini. Pada pandangan kami, jika kompilasi ini menghimpunkan 20 lagu (bukan 14 lagu) bersesuaian dengan angka 20 tahun kewujudan Feminin menjadikan kompilasi ini lebih bermakna. Walau bagaimanapun, usaha ini amat kami hargai dan perlu menjadi milik anda sekiranya anda seorang GOFF!