Ini merupakan penyertaan kali kedua Feminin untuk pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik. Pertandingan yang diadakan pada tahun 1996 ini selain menyokong usaha memartabatkan industri seni, ia juga sebagai misi 'balas dendam' mereka khususnya kepada golongan yang meragui kemampuan Feminin untuk menyanyi secara langsung. Semuanya gara-gara kegagalan Feminin ketika di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 1994 ketika menyampaikan lagu 'Untukmu'.
Segala kritikan yang diterima, mereka perbaiki dan usaha itu bukanlah suatu yang sia-sia bila mana mereka berjaya membuktikan kebolehan menyanyi secara langsung. Kali ini mereka mempertaruhkan lagu 'Kini' gubahan sepenuhnya oleh kumpulan KRU. Walaupun tidak mampu untuk melangkah ke peringkat Juara Lagu, namun kejayaan Feminin menyampaikan lagu ini dengan baik sekali beserta gerak tari yang dipermudahkan berbanding tarian asal untuk versi miming sudah dikira memuaskan.
Dengan mengenakan persalinan skirt 'double layer' dengan diiringi Dee Boyz sebagai penari latar, kemunculan Feminin amat elegan sesuai dengan umur mereka ketika itu yang mula menginjak ke alam dewasa. Semasa rakaman rancangan ini, Feminin kekurangan seorang ahli iaitu Watie yang dikhabarkan kurang sihat. Ketiadaan Watie sebagai 'second lead vocal' mengurangkan sedikit kesempurnaan harmoni mereka, dan kami amat yakin sekiranya Feminin tampil berempat persembahan ini pasti akan lebih sempurna. Apa-apa pun satu persembahan yang amat membanggakan semua!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan