Rabu, Mei 08, 2013

Tribute from Versus

Penghargaan daripada penggiat indsutri seni untuk seseorang artis biasanya diberi kepada mereka yang berjaya meninggalkan kesan kepada dunia seni serta memberi hasil kerja yang mampu mencapai taraf malar segar. Dalam kata lain artis itu berjaya menjadi ikonik semasa era mereka atau lebih hebat lagi menjadi legenda. Itulah yang terjadi kepada kumpulan Feminin, walaupun mereka telah lama tidak bergiat aktif dalam bidang hiburan, hampir 15 tahun lamanya, namun lagu-lagu mereka yang mencapai malar segar terus diminati malah diberi tempat yang sepatutnya sehingga kini.

Antara usaha yang sering dilakukan adalah memberi sentuhan serta interpretasi baru dari penggiat seni semasa kepada karya-karya agong kumpulan Feminin. Rancangan Versus terbitan TV9 antara yang sering mengangkat lagu-lagu Feminin sebagai tugasan kepada band-band yang bertanding untuk menterjemahkan lagu-lagu popular Feminin mengikut kaca mata mereka. Hasilnya amat luar biasa dan ada diantaranya di luar jangkauan fikiran kami. Berikut kami kongsikan antara persembahan band yang terlibat dalam menyampaikan lagu Feminin. Perlu ditekankan di sini, bukan semua artis boleh dihargai sebegini kerana hanya yang benar-benar layak akan terus diingati...



Band Go Gerila telah mendendangkan lagu 'Untukmu' untuk musim pertama Versus. Lagu yang membawa mesej pencintaan bahagia ini dibawa oleh Feminin dalam mood yang cukup ceria dan menggembirakan. Namun di tangan Go Gerila lagu ini telah diperlahankan dengan suntikan berat percintaan yang amat romantik. Bagi kami usaha ini amat kontra tetapi menjadikan 'Untukmu' kekal relevan dengan sentuhan baru dan segar. 



Ini pula persembahan band Kristal dengan lagu 'Rindu' semasa musim kedua Versus. Umum mengetahui lagu ini amat Feminin dan agak sukar untuk dibawa oleh penyanyi lelaki apa lagi oleh sebuah band rock. Kristal menjadikan lagu ini sedikit kasar dan sedikit mengecewakan apabila melodi asal di tukar untuk disesuaikan dengan imej rock mereka. Walau bagaimanapun, kami tetap menghargai usaha me'rock'an lagu 'Rindu' ini...



Tidak pernah terbayang sama sekali lagu 'Kini' boleh disampaikan secara dikir barat, tetapi itulah yang telah disampaikan oleh band Manifesto ketika menjayakan Versus musim kedua. Usaha yang amat menjadi dan perlu diberi pujian kerana bagi yang tidak pernah mendengarkan lagu ini versi Feminin mungkin akan mengandaikan ini adalah lagu Manifesto. 'Kini' oleh Feminin yang membawa mesej kekecewaan dalam bercinta dilihat kena sebagai luahan hati seorang wanita. Manakala 'Kini' versi Manifesto pula merupakan sisi luahan hati seorang lelaki. Tahniah Manifesto!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan