Rabu, Februari 27, 2013

Interpretasi Peminat untuk Feminin

Berbagai-bagai kaedah yang digunakan oleh para peminat bagi menzahirkan sokongan mereka kepada artis pujaan masing-masing. Perkara istimewa ini turut dilakukan oleh peminat-peminat Feminin sebagai salah satu cara sanjungan dan penghargaan mereka kepada kumpulan yang pernah dan terus menjadi ikonik dunia seni Malaysia.

Antara yang kami sering terima adalah gambar-gambar Feminin yang telah di edit dan diterjemahkan semula dari persepktif mereka. Walaupun Feminin telah tidak aktif lagi beraksi, mungkin cara ini sedikit sebanyak mampu untuk mengurangkan rindu kita kepada kumpulan Feminin.

Kiriman Emylia Hana Azmi - Emylia menyemarakkan lagi mood raya dengan ucapan lebaran yang diserikan dengan gambar-gambar poskad setiap ahli Feminin. Bagi kami, hasilnya cukup kreatif dan 'fresh'...


Tidak dapat dinafikan, kad raya Feminin ini mampu menceriakan lagi Raya kita...


Kiriman Ole Rock (nama akaun facebook) - Ole Rock pula ternyata mempunyai ideanya tersendiri meinterpretasikan koleksi gambar-gambar Feminin yang pernah disiarkan dalam blog ini mengikut acuannya. Hasilnya lebih bertema, antara lain beliau menghimpunkan album-album yang pernah dihasilkan Feminin serta gambar-gambar Feminin mengikut bilangan ahli yang aktif ketika itu di dalam satu koleksi gambar.

Album-album yang pernah dihasilkan oleh Feminin

Feminin - The Best of Five

Feminin - The Best of Four

Gaya Feminin dari tahun ke tahun...

Feminin - The Best of Three


Kiriman Jamrin Onum - Berbeza pula dengan GOFF yang ini, Jamrin cuba 'melahirkan' semula gambar-gambar 'classy' Feminin dengan sentuhan teknologi terkini. Bagi mereka yang baru mengenali Feminin, hasil sentuhan GOFF ini akan terasa seolah-olah Feminin masih berada di takhta seni arus perdana. Slogan yang dipilih iaitu FEMININity juga agak 'catchy' dan sesuai dengan keseluruhan konsep yang dibawa oleh Feminin.

Feminin rulez!!!

The style of Feminin...


Kiriman Rain (nama sebenar tidak diberi...) - Ternyata Rain menggunakan bakat melukis yang dimiliki dengan menzahirkannya dalam potret eksklusif Feminin. Hasilnya memang mengagumkan kami dan ternyata begitu berharga untuk terus disimpan sebagai salah satu khazanah yang tidak ternilai. 'Thumb up' buat pengirim!!!


WOW! 'Hidup' kaset terbaik Feminin ini daripada sentuhan semulajadi Rain.

Anda lihat, anda nilai lah sendiri *(^_^)*

Rabu, Februari 20, 2013

Dee Boyz

Dalam usaha Feminin untuk mengukuhkan lagi nama mereka dan memastikan setiap kali muncul pasti memberi kesan maksimum kepada peminat mereka, Feminin mara setapak lagi dengan mewujudkan kumpulan penari pengiring mereka sendiri. Kumpulan penari ini telah diberi nama sebagai Dee Boyz. Kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 1994 selari dengan kelahiran album kedua Feminin iaitu 'Kini'. Dee Boyz turut terlibat dalam penghasilan album ini sebagai penyanyi latar untuk lagu 'Sendiri'.

Kumpulan yang terdiri daripada enam remaja lelaki berbakat besar berumur dalam lingkungan belasan tahun ini sering dilihat mengiringi setiap persembahan Feminin khususnya di dalam rangka promosi album 'Kini'. Ketika itu Dee Boyz terdiri daripada Apai, Man, Wan, Fendi, Shah dan juga Leo.


Ahli asal Dee Boyz yang terdiri daripada 6 anggota.



Setelah lebih setahun bersama-sama Feminin, dengan bakat serta pendedahan yang mereka ada pengurus Feminin iaitu saudara Edd berhasrat untuk menjadikan Dee Boyz sebagai artis rakaman yang bernaung di bawah Feminin Production. Namun mungkin kerana bukan rezeki mereka ditambah pula dengan kegawatan ekonomi ketika itu hasrat ini tidak menjadi kenyataan. Dee Boyz akhirnya dibubarkan apabila Feminin mengundurkan diri secara rasmi daripada dunia seni selepas kelahiran album ketiga mereka. Diakhir kewujudan kumpulan ini, Dee Boyz telah tinggal berempat iaitu Apai, Wan, Man dan Leo. Dua lagi anggota Dee Boyz telah mengundurkan diri atas faktor peribadi.


Bergambar dengan Feminin ketika mereka tinggal berempat.


Kini setiap anggota Dee Boyz telah membawa haluan masing-masing. Sehingga entri ini ditulis kami hanya berjaya mengesan tiga sahaja anggota Dee Boyz di mana Leo dan Man masih meneruskan kerjaya seni mereka sebagai penari profesional manakala Fendi bergerak aktif sebagai jurugambar profesional. Mereka bertiga ini boleh dihubungi melalui akaun facebook peribadi masing-masing iaitu Man (Azman Yusof), Fendi (Fendy Salleh) dan Leo (Leo Kwan). Lain-lain anggota terus menyepi tanpa khabar berita.



Man bersama isteri ketika bergelar raja sehari.


Imej Fendi terkini yang lebih gemar untuk menyendiri.


Leo sekarang masih kekal 'comel' seperti dulu...

Disebabkan keterbatasan maklumat, mungkin ada informasi yang kurang tepat dan ia berlaku tanpa disengajakan. Kepada para pembaca, jika anda mempunyai maklumat lain berkenaan Dee Boyz atau cara-cara untuk menghubungi mereka bolehlah berkongsi kepada kami agar semua yang pernah menyumbang kepada keunggulan jenama Feminin suatu masa dahulu dapat disatukan kembali.

Rabu, Februari 06, 2013

Pengiktirafan AIM

Anugerah Industri Muzik atau dikenali juga sebagai AIM merupakan antara anugerah berprestij yang mengiktiraf hasil kerja mereka yang terlibat di dalam industri muzik Malaysia. Para penerima anugerah dipilih oleh barisan juri profesional yang terdiri dari mereka yang arif dengan dunia muzik seperti penerbit album, pencipta lagu, wartawan hiburan dan lain-lain lagi. Maka dengan itu, para artis amat mendambakan trofi AIM sementalah ia merupakan pengiktirafan tulen atas kualiti hasil kerja mereka.

Majlis penganugerahan seni muzik tanahair tahunan AIM ini buat julung kalinya telah diadakan pada 15 Disember 1993 di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton Kuala Lumpur. Di dalam AIM yang pertama ini, sebanyak 10 kategori telah dipertandingkan di samping sebuah anugerah khas iaitu Anugerah Sri Wirama untuk seniman atau seniwati yang mengukir pencapaian cemerlang dalam industri muzik sepanjang tahun 1993.


Posing istimewa Feminin bersama kumpulan Nico di acara karpet merah

Penganjuran AIM yang pertama ini tidaklah segah sekarang dan hanya ditayangkan di televisyen secara siaran tertunda. Namun ia tetap meriah dengan kehadiran ramai artis samada tercalon atau pun tidak sebagai tanda memberi sokongan. Pada AIM ini juga Feminin telah terpilih untuk mengadakan persembahan dan seperti biasa mereka berjaya melakukan persembahan cemerlang dengan lagu 'Untukmu'. Memilih persalinan ala-ala tentera laut, kehadiran Feminin ternyata menyuntik kelainan dan menarik perhatian hadirin.


Beraksi secara langsung mendendangkan lagu 'evergreen' mereka iaitu 'Untukmu'

Pada AIM ini juga, Feminin telah tercalon untuk kategori Artis Baru Terbaik (Berkumpulan) bersama-sama dengan calon-calon lain iaitu kumpulan Visa, Panji, Nico dan Samudera. Bukan sekadar bergantung kepada populariti yang mereka raih ketika itu, diiringi dengan kualiti yang mereka ada, juri sekata untuk  memilih Feminin sebagai pemenang sulung untuk kategori Artis Baru Terbaik (Berkumpulan).


Feminin menyampaikan ucapan setelah diumumkan sebagai penerima trofi AIM

Kejayaan Feminin ini membuktikan yang kehadiran mereka di persada industri muzik Malaysia bukan sekadar untuk meraih populariti tetapi mereka hadir kerana mempunyai pakej lengkap dan mampu memberi sesuatu kepada industri.


Bergaya dengan trofi yang dimenangi

Bergambar ramai dengan barisan pemenang AIM 1993

Pengiktirafan yang diterima oleh Feminin daripada AIM ini membakar semangat mereka untuk memberikan yang terbaik untuk peminat mereka khususnya dan dunia seni umumnya. Pengiktirafan ini dilihat suatu yang tepat kerana walaupun kini mereka sudah tidak lagi aktif menyanyi tetapi kehadiran serta legasi yang ditinggalkan Feminin masih tetap utuh dan terus relevan merentas masa.