Rabu, Disember 28, 2011

Photos Collection - Poster (Part 1)

Peminat-peminat dunia muzik era 90an memang terkenal dengan aktiviti mengumpul poster-poster artis kegemaran mereka. Ketika itu, pihak penerbitan khususnya majalah hiburan sentiasa berlumba-lumba mengeluarkan poster artis samada bersaiz besar atau sekadar pin-up sebagai umpan untuk melariskan jualan terbitan mereka. Artis-artis popular sering dijadikan rebutan untuk tampil sebagai penghias poster.

Femini tidak terkecuali, selain populariti yang dikecapi ditambah pula dengan sering tampil dengan imej yang unik menjadikan mereka antara artis 'wajib' untuk dijadikan poster setiap penerbitan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Berikut adalah antara poster-poster menampilkan Feminin yang ada dalam simpanan kami untuk anda semua...

Antara poster awal Feminin, ketika mereka masih berlima. Diwaktu ini, Feminin telah terpilih menjadi duta produk bagi barangan 'Apple Mints'.


Poster untuk majalah URTV, Feminin tampil dengan gaya dan tatarias 'rock chicks'.

Gaya Feminin ala-ala 60's. Poster yang dibuat bersempena dengan kelahiran album ketiga mereka. Poster ini diberi sekali kepada pembeli kaset atau CD.

Setelah Feminin tinggal bertiga, mereka masih terpilih untuk menjadi penghias poster. Kali ini untuk majalah Hai.


Poster pin-up majalah Media Hiburan mereka muncul dengan gaya elegan yg 'up to date'.

Red evening dress dengan gaya rambut yang classy dipilih untuk poster pin-up URTV. 


Ini adalah sebahagian poster yang ada dalam milikan kami. Jangan ketinggalan untuk saksikan lain-lain poster Feminin pada entri mendatang. Kepada Gang of Feminin yang masih ada menyimpan poster-poster mereka, mohon berkongsi kepada kami untuk kami kongsikan kepada gang yang lain.

Rabu, Disember 21, 2011

MTV Tribute from the Fans

Untuk entri kali ini, kami kumpulkan video-video yang dibuat oleh peminat-peminat Feminin sebagai penghargaan mereka kepada Feminin. Video yang terhasil agak amatur tetapi tetap mempunyai nilai yang tinggi dan berjaya menzahirkan minat mereka kepada kumpulan pujaan mereka ini. Kami amat menghargai usaha yang dilakukan ini, sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi blog ini dalam kita berkongsi minat yang sama. Kepada gang of Feminin yang lain, jika anda mempunyai video yang anda hasilkan khas untuk Feminin, sudi-sudikanlah untuk berkongsi kepada kami...



Video ini telah dihantar oleh saudara Hasnul Fikri (Gang of Feminin #002). Video yang agak melodrama ini yang berlatar belakangkan lagu 'Dealova' dendangan Once, dilihat kena dengan lirik yang menggambarkan minat mendalam pengirim terhadap Feminin. Dengan himpunan gambar-gambar Feminin semasa zaman kegemilangan mereka, serba sedikit berjaya menyentuh hati dengan kenangan indah kita bersama mereka suatu waktu dahulu.




Video ini pula telah dihasilkan oleh Heaven XxX (maklumat lengkap pengirim tiada dalam simpanan kami) khas untuk Nur Aqilah Hamim istimewa untuk hari jadinya yang ke-22. Mengambil lagu 'Untukmu' sebagai lagu latar dan inspirasi, ternyata hasilnya amat ceria dan meriah. Tiada imej Feminin di dalam video ini kerana keseluruhan video adalah terdiri daripada animasi dari imaginasi yang dibangunkan sendiri oleh pengirim.


Rabu, Disember 14, 2011

MTV Untukmu - KRU feat. Feminin



Populariti lagu 'Untukmu' dendangan kumpulan Feminin telah memberi idea kepada pencipta lagu tersebut iaitu kumpulan KRU untuk merakamkan semula dalam versi mereka. Bagi memberi kelainan, lagu 'Untukmu' versi KRU telah disampaikan dalam rentak acapella. Lagu yang dirakamkan pada tahun 1994, hampir dua tahun selepas lagu versi asal dirakamkan, dilihat berjaya menyuntik kelainan kepada lagu yang bertaraf malar segar ini.

Bagi merancakkan lagi penerbitan semula lagu ini, sebuah video klip telah diterbitkan. Video klip dengan jalan cerita yang 'straight foward' ini menggambarkan dari mula hingga akhir lagu, kumpulan KRU sedang membuat mini konsert di sebuah dewan tertutup tanpa penonton. Sebagai penghormatan, kumpulan Feminin telah muncul di akhir lagu sedang menyaksikan persembahan mereka. Bagi kami, usaha yang diambil oleh KRU ini bukanlah suatu yang sia-sia tetapi sebagai perbandingan, lagu dendangan asal Feminin masih tetap terbaik.

Rabu, Disember 07, 2011

Photos Collection - Best of Three (Part 1)

Untuk entry kali ini, kami himpunkan antara foto-foto terakhir Feminin sebelum mereka berundur secara rasmi dari dunia hiburan. Ketika ini, Feminin hanya tinggal bertiga setelah Deq Nor mengundurkan diri bagi memberi tumpuan penuh kepada keluarga. Jika diperhatikan, imej yang dipilih oleh Feminin lebih santai, elegan dengan tatarias yang sederhana, sesuai dengan umur dan status mereka sebagai isteri orang (kecuali Yatie yang masih bujang).

Ketika ini juga, aktiviti Feminin tidaklah semeriah semasa di awal kemunculan mereka dahulu. Masing-masing telah ada komitmen peribadi yang perlu diuruskan yang akhirnya membawa kepada keputusan untuk menarik diri dari terus berkecimpung dalam dunia nyanyian. Maka berakhirlah... sebuah legasi yang bukan sedikit memberi kesan; khususnya kepada peminat yang membesar dengan lagu-lagu serta imej mereka dan bidang seni amnya.

Rata-rata peminat mereka masih mengharapkan agar Feminin membuat 'come back' sekurang-kurangnya dengan sebuah single baru... Saksikanlah 'The Best of Three' daripada Feminin... living legend... dulu, kini dan selamanya.


Tampil simple tetapi tetap mengekalkan imej Feminin... - sesi fotografi majalah Hits

Masih mengekalkan imej seragam dengan pemilihan busana rugged dari fabrik pvc. Penggunaan warna perak menyerlahkan lagi sisi kedewasaan Feminin. - sesi fotografi majalah URTV

Salah satu 'masterpiece' foto terbaik Feminin ketika tinggal bertiga. Keanggunan mereka terserlah walaupun tampil sederhana. - sesi fotografi majalah Jelita

Ini pula penampilan berani mereka dengan imej emas (yang kedua terbaik selepas imej botak). - sesi fotografi majalah Hits

Mengenakan dress malam dengan warna tema masing-masing beserta aksesori mewah ketika mereka hadir ke majlis Anugerah Bintang Popular tahun 1997.

Beraksi 'bebas' di studio milik mereka. - sesi fotografi kumpulan Utusan

Bergaya rock & alternative chicks! Feminin tetap Feminin... - sesi fotografi majalah URTV

Gaya santai mereka di Feminin Production ketika tidak mempunyai sebarang aktiviti seni.

Muncul serba hitam dengan citarasa seksi semasa menghadiri jemputan rancangan Muzik-Muzik.