Artikel diambil daripada Berita Harian ruangan Hip bertarikh 5 Oktober 2012
Kumpulan Feminin yang dianggotai As, Yatie, Watie, Deq Nor dan Along pernah mencetuskan fenomena pada awal 1990-an apabila gaya mereka menjadi ikutan anak muda zaman itu.
Album sulung mereka berjudul
Untukmu yang dihasilkan trio adik beradik KRU pada tahun 1993, mencatat jualan memberangsangkan sehingga mencecah 150,000 unit. Album
Kini yang muncul setahun selepas
Untukmu juga tidak mengecewakan dengan rekod jualan shingga 100,000 unit.
Mengimbau kenangan hampir dua dekad lalu, bekas pengurus kumpulan rap wanita pertama, Edd Razhe yang kini menjadi Pembantu Peribadi kepada Ketua Pegawai Operasi (CEO) AirAsia, Tan Sri tony Fernandes dan Timbalan CEO AisAisia, Datuk Kamarudin Meranun memberitahu, pembentukan Feminin dilakukan dengan usaha keras.
Dedahkan kepada khalayak
Setahun sebelum kemunculan album sulung Feminin, Edd mencari apa saja peluang yang membolehkan anak didiknya didedahkan dengan persembahan depan khalayak ramai dan pada waktu sama, memperkenalkan nama Feminin.
"Saya mahu membiasakan mereka berdepan dengan orang ramai. Ini penting supaya apabila album keluar, mereka tidak janggal menyanyi depan orang. Saya tidak kisah walau di manapun tempatnya, asalkan ada ruang untuk memperkenalkan mereka, saya akan bawa. Kerjaya Feminin memang saya rancang dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah dalam soal pembikinan album di mana Norman akan berbincang mengenai pemilihan lagu yang sesuai dengan vokal Feminin. Saya turut berbincang dengan anggota Feminin mengenai pembahagian rangkap lagu yang sesuai dengan vokal masing-masing," katanya menceritakan kisah awal pembentukan kumpulan Feminin.
Edd berkata, pembahagian rangkap lagu dibuat untuk lagu rancak kerana tidak mahu anggota Feminin letih apabila terpaksa menyanyi dan menari serentak.
"Cuma untuk lagu berentak perlahan saja As menyanyi seorang. Begitu juga jika menjayakan persembahan pentas, untuk tempoh sejam setengah, biasanya sesetengah lagu dinyanyikan secara live dan sebahagiannya secara 'miming'," katanya.
Nafi guna suara penyanyi lain
Ketika nama Feminin meniti puncak populariti, kumpulan ini dikaitkan dengan kontroversi mengupah penyanyi lain untuk melontar vokal dalam album mereka. Edd mengakui mendengar kontroversi itu tetapi pantas menyangkal dan menjelaskan pembabitan penyanyi Atilia hanyalah sebagai penyanyi latar untuk lagu
Rindu.
Ditanya bagaimana pula dia membentuk kumpulan itu sehingga gaya mereka menjadi ikutan ramai. Jelas Edd, dia ditakdirkan berjumpa dengan mereka ketika diminta RTM mencari 60 penari untuk menyertai program
Citrawarna Malaysia.
"Ketika itu, saya bertugas sebagai penari, pihak RTM pula meminta saya mencari penari untuk
Citrawarna. Ketika itu, saya hanya terfikir Lot 10 kerana pusat beli belah di Bukit Bintang itu menjadi tumpuan anak muda melepak. Saya pergi ke sana dan bertanya kepada remaja yang melepak mereka berminat atau tidak untuk menyertai
Citrawarna.
Kebetulan As dan rakan-rakannya melepak di situ. Lalu saya adakan sesi ujubakat dan ternyata mereka memang berbakat menari dan memiliki pakej lengkap. Bagaimanapun ketika itu kumpulan As ada 10 orang, tetapi saya terpaksa menolak dan hanya mengambil lima orang saja," katanya.
Edd berkata, salah seorang yang saya terpaksa tolak adalah Nita dari
Malaysia Idol yang menjadi salah seorang rakan As.
"Fizikalnya yang tinggi menyebabkan saya tidak boleh mengambilnya. Selepas itu saya mula rancang perjalanan kerjaya mereka termasuk membentuk imej. Saya sentiasa memastikan mereka tampil dengan imej berbeza dalam setiap album. Kebanyakan pakaian mereka ketika itu saya tempah dengan seorang kenalan. Kain untuk buat baju mereka saya beli di pusat beli-belah Kamdar saja. Saya hanya beli kain murah sebab mereka pakai sekali saja.
"Lakaran untuk baju mereka saya ambil dari majalah antarabangsa sebagai inspirasi tetapi tidak sangka pula imej mereka menjadi ikutan," kata Edd.
Sekolah tak diabai
Selain menjadi pengurus untuk kerjaya mereka, urusan persekolahan Feminin ketika itu tidak diabaikan. Sehubungan itu, anggota Feminin mendiamai rumah yang sama di mana Edd dapat mengawasi pergerakan mereka dengan lebih ketat. Malah Edd turut menghantar dan menjemput mereka dari sekolah walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas dari Desa Pandan ke Sentul setiap hari.
"Setiap hari mereka akan memulakan latihan dari jam 2 petang sehingga 8 malam. Selepas itu mereka mengulangkaji pelajaran mulai jam 9 malam. Saya mengawal ketat jadual mereka supaya tidak lalai dan ketinggalan dalam pelajaran," katanya.
|
Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal. |