Jumaat, Mac 29, 2013

Rancangan Mikroskop - Tetap Bersama (Live)




Di awal 90an rangkaian TV3 telah menerbitkan sebuah rancangan berkonsepkan infotainment berjudul 'Mikroskop'. Rancangan ini telah diacarakan oleh personaliti terkenal Azwan Ali dan ke udara secara mingguan.

Setiap episod akan membicarakan isu-isu ringan industri seni bersama barisan panel atau artis jemputan. Bagi menambahkan lagi tarikan, rancangan ini turut diserikan dengan persembahan artis yang kebiasaannya ada berkaitan dengan isu yang dibincangkan.

Salah satu episod Mikroskop telah mengundang kumpulan Feminin yang turut membuat persembahan lagu 'Tetap Bersama' secara langsung secara bertenaga. Episod ini telah mengupas isu iaitu lebih dari seorang kaum keluarga yang terlibat dalam dunia hiburan. Feminin yang turut dianggotai As serta Watie yang merupakan adik-beradik amat kena untuk diundang bagi berkongsi pengalaman mereka untuk tajuk yang dipilih.

KRU serta Syanie dan ibunya Puan Ruhani turut diundang sebagai panel. Feminin tampil dengan imej trendy dan sofistikated dengan persalinan blaus pendek bewarna merah yang disertakan dengan skaf kepala yang diikat kreatif. Bagi menambahkan keunikan serta 'trademark' Feminin, mereka turut mengenakan stoking paras lutut dengan warna senada dengan persalinan.

Rabu, Mac 06, 2013

Feminin Muncul Kembali

Artikel diambil daripada Utusan Malaysia



BOLEHKAH kumpulan Feminin menyanyi lagi? Pasti itulah persoalan yang timbul di minda sesetengah orang bila diberitahu bahawa Feminin akan tampil dengan album baru.

Kegusaran itu timbul kerana selain terkenal sebagai kumpulan rap wanita, Feminin turut dikenali gara-gara suka menyanyi secara miming sewaktu mengadakan persembahan.

Biar apa pun tanggapan masyarakat, Feminin tidak pernah melatah. Sebaliknya mereka lalui cabaran tersebut dengan tabah.

Kini Feminin yang dianggotai oleh As,30, Yatie, 27, Watie, 28 dan Deq Nor, 28, akan kembali memeriahkan persada seni tanah air dengan album yang memuatkan lagu-lagu popular mereka.

Dalam album berjudul Feminin yang telahpun berada dipasaran sejak 19 April lalu, kumpulan tersebut merakam semula lagu Untukmu. Lagu tersebut telah disusun semula muziknya oleh Nan Saturnine.

Sementara lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Kini, Rindu, Untukmu dan Kembali.

Album tersebut muncul setelah sembilan tahun menunggu album Kembali yang diterbitkan pada tahun 1996. Sebelum itu Feminin pernah tampil dengan album Untukmu dan Kini.

Menurut Yatie, setelah menunggu begitu lama barulah kini Feminin berpeluang muncul dengan album baru atas permintaan ramai. Malah kemunculan album tersebut dianggap tepat pada waktunya.

"Tidak sangka sekian lama menyepikan diri ada juga permintaan daripada peminat yang mahukan Feminin kembali aktif", kata Yatie yang kini bekerja sebagai akauntan di syarikat penerbangan AirAsia cawangan Jakarta.

Terus terang Yatie berkata, kemunculan Feminin kini tidak akan sama dengan dulu kerana sekarang masing-masing lebih matang. Katanya, kalau sekarang ini buat persembahan tidak mungkin mereka akan menari ligat seperti dulu kerana usia sudah meningkat.

"Tapi kalau dari segi vokal memang ada perubahan maklumlah ikut pertambahan usia,'' katanya sambil ketawa.

Yatie yang masih solo berbanding anggota lain berkata, jika album ini yang merupakan projek khas Warner Music mendapat sambutan, mereka tidak keberatan untuk kembali menghasilkan album penuh.

Bagi As, status isteri kepada Azman Adnan tidak membawa sebarang perubahan pada karier seninya kerana mendapat restu daripada suaminya.

Kata As, selama tempoh Feminin sepi dia ada mendapat tawaran merakam album secara solo namun tidak berminat kerana dia lebih selesa menghasilkan album secara berkumpulan.

Sementara Watie, adiknya pula kini telah pun mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Mohd Adam Haikal,5, dan Nor Alisa berusia setahun.


Klik gambar untuk besar dan lihat artikel asal.